LAILATUL QADAR
Tidak terasa, kita sudah berada di minggu terakhir bulan Ramadhan, dan jangka waktu sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan adalah merupakan jangka waktu yang paling istimewa kerana di dalamnya terdapat malam lailatul qadar. Apa keistimewaan Lailatul Qadar itu?
Allah s.w.t. berfirman, bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) saat Lailatul Qadar (malam kemuliaan). Dan tahukah kamu apa Lailatul Qadar itu? Lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan hingga terbit fajar.” (Al -Qadar: 1-5)
Allah memberitahu bahawa Dia menurunkan Al-Quran pada malam Lailatul Qadar, ia-itu malam yang penuh keberkatan. Allah s.w.t. berfirman: “Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati.” (Ad-Dukhan: 3)
Dan malam itu berada pada bulan Ramadhan, sebagaimana firman Allah s.w.t.: “Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran.” (Al-Baqarah: 185)
Ibnu Abbas r.a. berkata: “Allah menurunkan Al-Quran keseluruhannya secara sekaligus dari Loh Mahfuz ke Baitul ‘Izzah (langit pertama) pada malam Lailatul Qadar. Kemudian diturunkan secara beransur-ansur kepada Rasulullah s.a.w.sesuai dengan konteks berbagai peristiwa selama 23 tahun.”
Malam itu dinamakan Lailatul Qadar kerana keagungan nilainya dan keutamaannya di sisi Allah s.w.t. Juga, kerana ketika itu ditentukan ajal, rezeki, dan lainnya selama satu tahun, sebagaimana firman Allah s.w.t.: “Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.” (Ad-Dukhan: 4)
Kemudian, Allah s.w.t. berfirman mengagungkan kedudukan Lailatul Qadar yang Dia khususkan untuk menurunkan Al-Quran: “Dan tahukah kamu apakah Lailatul Qadar itu?” (Lihat Tafsir Ibu Kathir, 4/429).
Selanjutnya Allah menjelaskan nilai keutamaan Lailatul Qadar dengan firmanNya: “Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.” Maksudnya, beribadah pada malam itu dengan ketaatan, sembahyang, membaca zikir dan doa sama dengan beribadah selama seribu bulan, pada bulan-bulan yang di dalamnya tidak ada Lailatul Qadar. Dan seribu bulan sama dengan 83 tahun 4 bulan.
Lalu Allah s.w.t. memberitahu keutamaannya yang lain, juga berkatnya yang melimpah dengan banyaknya malaikat yang turun pada malam itu, termasuk Jibril a.s. Mereka turun dengan membawa semua perkara, kebaikan mahupun keburukan yang merupakan ketentuan dan takdir Allah s.w.t. Mereka turun dengan perintah Allah s.w.t. Selanjutnya Allah s.w.t. menambahkan keutamaan malam tersebut dengan firmanNya: “Malam itu (penuh) kesejahteraan hingga terbit fajar”. (Al-Qadar: 5)
Maksudnya, malam itu adalah malam keselamatan dan kebaikan seluruhnya, tidak sedikit pun ada keburukan di dalamnya, hingga terbit fajar. Pada malam itu, para malaikat, termasuk malaikat Jibril, mengucapkan salam kepada orang-orang beriman.
Dalam hadis sahih Rasulullah s.a.w. menyebutkan keutamaan melakukan qiyamul lail pada malam tersebut. Baginda bersabda: “Sesiapa mengerjakan sembahyang malam ketika Lailatul Qadar kerana iman dan mengharap pahala dari Allah, nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Muttafaq ‘Alaih).
Tentang waktunya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Carilah Lailatul Qadar pada (bilangan) ganjil dari sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan lainnya).
Yang dimaksud dengan malam-malam ganjil iaitu malam dua puluh satu, dua puluh tiga, dua puluh lima, dua puluh tujuh, dan malam dua puluh sembilan.
Adapun qiyamul lail di dalamnya iaitu menghidupkan malam tersebut dengan tahajjud, sembahyang, membaca Al-Quran, zikir, doa, istighfar dan taubat kepada Allah s.w.t.
Aisyah r.a. berkata, aku bertanya: “Wahai Rasulullah, apa pendapatmu jika aku mengetahui Lailatul Qadar, apa yang mesti aku ucapkan di dalamnya?” Baginda menjawab, katakanlah:
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau mencintai Pengampunan, maka ampunilah aku.” (Riwayat At-Turmuzi, ia berkata, hadis hasan sahih).
(Dipetik dari buku: Siri Keajaiban Rukun Islam - Hikmah Puasa susunan Ahmad Syafi'i Khatib)
Salam hormat - Puda