Prof. Dr. Abdullah Hassan menerima anugerah Tokoh MABBIM beliau
Antara lain beliau menulis:
"Ahli-ahli strategi Jepun meramalkan Era Maklumat akan tamat pada awal abad ke-21 dan tempatnya digantikan oleh Era Kreasi (Age of Creation), bukti-bukti kemunculan era baru itu sudah pun wujud pada masa ini. Apabila ramalan ini benar, bermakna pada tahun 2020 nanti, Era Maklumat sudah berlalu manakala Era Kreasi sudah mapan (established). Di saat-saat majoriti bangsa Melayu sedang terkial-kial memahami dan menyesuaikan diri dengan Era Maklumat, Jepun sudah siap dengan strategi bagi mencipta dan menghadapi Era Kreasi. Bangsa Melayu perlu menubuhkan sekumpulan ahli-ahli strategi yang memiliki mentaliti Jepun di mana "merancang bukan sekadar untuk hari esok, tetapi juga untuk hari selepas esok."
Industri maklumat sebenarnya tidak mencipta maklumat. Ia mencipta cara-cara dan peralatan-peralatan yang membolehkan maklumat dihantar dan disebarkan dengan pantas. Meskipun industri maklumat tidak mencipta maklumat, tetapi penghantaran dan penyebaran maklumat membolehkan penggunaan maklumat meningkat dengan banyaknya dan dengan itu ia membantu menaikkan produktiviti. Aktiviti utama dalam industri maklumat ialah pengurusan maklumat. Pada peringkat masyarakat, era maklumat mencipta masyarakat maklumat.
Dalam Era Kreasi nanti, aktiviti kreasi akan mendapat peranan-peranan dan nilai-nilai baru sama sekali. Tumpuan akan diberikan kepada kreativiti, sebagaimana yang belum pernah disaksikan sebelumnya. Di dalam bidang industri umpamanya, syarikat-syarikat tidak lagi mengurus maklumat. Sebaliknya, syarikat-syarikat akan hanya mengurus maklumat-maklumat yang berorientasikan kreasi, atau istilah yang sudah dicipta baginya "creagement." Dalam abad ke-21, pengurusan akan difokuskan kepada pemerangsangan motivasi individu untuk merealisasikan potensi kreatifnya secara optima, supaya dengan itu dia akan meningkatkan penghasilan output kreatif pada peringkat organisasi.
Untuk merangsang kreativiti manusia Jepun, negara itu sudah mengenal pasti beberapa strategi. Antara pelbagai strategi itu ialah mencipta sistem-sistem komputer yang berfungsi sebagai pembantu kepada pemikiran kreatif tenaga kerja negara itu. Di dalam era maklumat, komputer membantu kita untuk mendapatkan, menghantar dan menyebarkan maklumat. Di dalam Era Kreasi, komputer membantu aktiviti berfikir untuk berkreasi. Bayangkan keadaan ini: seorang jurutera, yang baru bekerja selama satu tahun di dalam sebuah organisasi Jepun, sudah bekerja seolah-olah beliau memiliki pengetahuan, pengalaman dan kepakaran seorang veteran sepuluh tahun. Inilah gambaran pekerja Jepun dalam Era Kreasi.
Pada masa ini tugas mencipta idea-idea baru hanya dapat dibuat oleh otak manusia. Jurutera-jurutera Jepun hari ini sedang tekun mencipta sistem-sistem komputer yang mampu menolong keupayaan otak manusia Jepun untuk mencipta pelbagai idea baru dengan lebih cepat, lebih banyak dan lebih bermutu. Dalam era maklumat manusia bergantung kepada komputer. Dalam Era Kreasi, manusia akan bergantung kepada sistem bantuan berfikir yang disebut "konseptor". Nama konseptor datang daripada kefahaman bahawa suatu idea adalah suatu konsep. Sistem konseptor mengandungi pengkalan data berkenaan semua pengetahuan, know-how, idea-idea setiap pakar teknikal, proses-proses yang dilakukan pada pembangunan produk-produk baru, maklumat berkenaan semua ujikaji yang pernah gagal, serta maklumat-maklumat teknikal terbaru, semuanya tersimpan dalam bentuk teks. Sebagaimana robotiks dan automasi mengurangkan penggunaan tenaga manusia di dalam kilang, sistem konseptor akan mengurangkan tenaga manusia dalam aktiviti kreasi idea di jabatan pembangunan produk. Dengan bantuan sistem ini seorang jurutera amatur di Jepun akan dapat berfikir dan bekerja secekap seorang veteran. Kerja-kerja pembangunan sistem ini sudah dimulakan oleh korporat-korporat Jepun sebagai salah satu strategi utama negara itu menjelang Era Kreasi abad ke-21.
Buat sekian lamanya Barat menjadi pencipta konsep-konsep dan produk-produk untuk seluruh dunia. Negara Jepun telah berjaya meniru konsep-konsep dan produk-produk Barat dengan kepantasan yang luar biasa sehingga pada hari ini Jepun tidak tahu apa yang hendak ditiru lagi dari Barat. Ini memaksa Jepun untuk menjadi pencipta konsep-konsep dan produk-produk baru untuk seluruh dunia. Jadi Jepun terpaksa mencipta bidang-bidang baru sama sekali untuk menghasilkan perniagaan-perniagaan baru, sistem-sistem baru dan produk-produk baru. Situasi begini menekan Jepun untuk memberi fokus kepada proses-proses kreasi yang menjadi komponen utama di dalam usaha itu kerana negara itu bertekad untuk menjadi pemimpin Era Kreasi.
Pakar-pakar strategi Jepun telah mengenal pasti pelbagai strategi untuk meningkatkan daya kreasi bangsa Jepun, khususnya di kalangan tenaga kerja negara itu. Antara strategi itu ialah mencipta teori-teori dan teknik-teknik mencipta kemunculan syarikat-syarikat yang intens kreasi, menjalankan program pendidikan kreasi bagi seluruh tenaga kerja, memberi lebih banyak kebebasan kepada mereka, merombak amalan pengurusan di Jepun hari ini, mendorong keberanian mencuba dan melakukan kesilapan, meningkatkan toleransi ke atas kegagalan, tidak menggalakkan campur tangan pengurusan ke atas perjalanan projek-projek kreasi, menghormati suara-suara sumbang, memberi tempat kepada manusia maverik, meleperkan lagi struktur organisasi, menurunkan lebih banyak kuasa kepada pekerja muda, melantik lebih banyak pengurus muda, memberi ganjaran kepada usaha individu, dan banyak lagi."
- Pamit/Puda -
No comments:
Post a Comment