Mohon maaf, hampir dua minggu blog ini tidak dikemas kinikan. Sejak beberapa minggu lalu, saya agak sibuk sedikit dengan kerja-kerja meneliti bahan-bahan yang akan dibawa ke dalam Sidang MABBIM yang akan berlangsung di Jakarta mulai 7 hingga 11 haribulan April ini. Dengan demikian waktu yang terluang begitu terhad sehinggakan tidak ada kesempatan untuk menulis apa-apa catatan di dalam laman blog ini.
Pada saat ini saya sudah pun berada di kota Jakarta, Indonesia dan rombongan kami dari Brunei menginap di Hotel Borobudur, Jakarta Pusat, di mana Sidang MABBIM dan MASTERA ini dilangsungkan. Kami bertolak dari Bandar Seri Begawan pada hari Ahad (6hb April) lalu dan akan berada di kota Jakarta ini sehingga 12hb April ini setelah sidang selesai.
Sidang kali ini adalah merupakan sidang ke 14 MASTERA dan sidang eksekutif ke 47 MABBIM dan ianya juga diselajurkan dengan acara memperingati ulangtahun ke 35 penubuhan MABBIM. Sidang MASTERA telah dijalankan lebih awal iaitu pada hari Sabtu dan Ahad (5 dan 6 hb April) yang lalu. Ini diikuti pula dengan Seminar Bahasa dan Sastera Mabbim-Mastera selama dua hari (7 - 8 April, 2008) dan sidang eksekutif MABBIM pula akan diungkayahkan selama tiga hari mulai 9 hingga 11 April, 2008.
Majlis Peresmian Sidang dan Seminar Mabbim-Mastera telah berlangsung pada hari Isnin, 7 April 2008, di Dewan Flores, Hotel Borobudur, Jakarta. Ianya diresmikan oleh Menteri Pendidikan Nasional Republik Indonesia, Prof. Dr. Bambang Sudibyo, M.B.A. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YB Pehin Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Negara Brunei Darussalam dan YB Timbalan Menteri Pelajaran (mewakili Menteri Pelajaran) Malaysia. Acara kemuncak dalam Majlis Peresmian ini adalah Penganugerahan Kencana Wiratama MABBIM kepada ketiga-tiga Menteri yang hadir dalam majlis tersebut. Ini diikuti pula dengan penyampaian Anugerah Tokoh MABBIM kepada Dr. Dendy Sugono (Indonesia), Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan (Malaysia) dan Haji Mohd Zaini Haji Omar (Brunei Darussalam). Beberapa orang pakar dalam bidang-bidang tertentu dari Republik Indonesia, Malaysia dan Negara Brunei Darussalam juga telah menerima Anugerah Tokoh Ilmuan MABBIM dan Penghargaan MASTERA telah disampaikan kepada tiga orang penggiat sastera masing-masing dari Republik Indonesia, Malaysia dan Brunei Darussalam.
Salam hormat
- Pamit/Puda -
No comments:
Post a Comment