Hari ini kita meraikan sekali lagi Sambutan Ulangtahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kali ke 24. Sayang sekali, saya tidak berkesempatan tahun ini untuk sama-sama turun padang mengetuai pasukan dalam perbarisan lalu sebagai salah satu acara Perhimpunan Agung Hari Kebangsaan. Kebiasaannya pada setiap tahun, pada tanggal 23hb Februari, saya akan berada di Taman Haji Sir Muda Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien bersama-sama dengan ribuan rakyat dan penduduk Brunei Darussalam dalam sama-sama memeriahkan hari yang bersejarah ini. Saya selalunya akan mengepalai Pasukan Gabungan Syarikat-Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd, Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd, Brunei LNG Sdn Bhd, dan Brunei Shell Tankers Sdn Bhd, yang mana setiap tahun akan tetap mempersembahkan perbarisan yang segak dan tampan, lebih-lebih lagi apabila membuat lintas lalu di hadapan Pentas Di Raja untuk menerima kurnia tabik hormat daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam. Demikian, setiap tahun detik bersejarah ini akan tetap dinantikan dan saya akan tetap berada di hadapan pasukan perbarisan untuk menumpahkan rasa kecintaan terhadap kemerdekaan dan kedaulatan negara tercinta.
Sekarang, hampir setahun saya sudah bersara dari perkhidmatan Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) dan buat kali pertamanya tahun ini saya hanya mampu melihat dari kaca TV suasana perbarisan Hari Kebangsaan yang gilang gemilang itu. Walaubagaimana pun, kenangan semasa ikut serta dalam tahun-tahun sebelumnya masih berbaur-baur dalam ingatan dan ianya tetap segar dalam kenangan dan masih mampu menimbulkan semangat patriotisme yang berkobar-kobar!!
- Pamit/Puda -
No comments:
Post a Comment