Malam tadi saya tidak begitu nyenyak tidur. Udara di Brisbane kini sudah mula membahang panasnya dan rumah Jobe di Austral Street ini tidak mempunyai alat pendingin hawa. Bayangkanlah, panas terik akibat sinaran matahari di waktu siang yang memanjang di musim panas (summer) ini menjadikan udara kering bergolak naik dan bahang kepanasannya terasa benar menyelubungi kita. Kalau di Brunei, kita begitu terbiasa dengan alat pendingin hawa - begitu enak dan nyaman rasanya berada di bilik yang berhawa dingin. Begitu juga, enak dan nyaman rasanya bersiar-siar dalam kenderaan yang berhawa dingin. Di pusat-pusat membeli belah, kita juga merasa enak dan nyaman dalam keadaan berhawa dingin. Kita seolah-olah tidak sedar akan cuaca panas terik di sekeliling kita kerana minda kita sudah tertawan dengan keenakan dan kenyamanan yang di bawa oleh alat pendingin hawa.
Minggu ini adalah minggu terakhir musim percutian bagi sessi akademi tahun 2007 di Universiti Queensland. Pada hari Isnin mendatang, 25hb Februari, bermulalah sessi akademi semester pertama tahun 2008. Keputusan peperiksaan pengajian semester Musim Panas (Summer) 2007 sudah pun diumumkan dua hari lepas. Ucapan tahniah kepada Jobe atas pencapaiannya meraih kepujian (distinction) dalam kedua dua mata pelajaran yang diambilnya semasa semester akademi musim panas (summer) yang lalu. Semoga ianya akan mendorong beliau agar meningkatkan usaha dan lebih tekun lagi menghadapi pengajian di tahun terakhir sepanjang tahun 2008 ini.
SELAMAT MEMULAKAN PENGAJIAN MUSIM AKADEMI 2008 DAN DIIRINGI DOA SEMOGA BERJAYA DENGAN CEMERLANG MENAMATKAN PENGAJIAN DI TAHUN TERAKHIR INI....AMIN
- Bapa/Pamit/Puda -
No comments:
Post a Comment