Sunday, 24 February 2008

Syarahan MABBIM 2008

Saya sudah berkecimpung dalam bidang kebahasaan sejak berdekad lamanya. Saya menganggotai Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu Brunei Darussalam (JKTBMBD) sejak pertengahan 1980an lagi dan pernah mewakili negara Brunei Darussalam dalam sidang-sidang MABBIM (iaitu singkatan kepada Majlis Bahasa Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia - sebuah Majlis atau Jawatankuasa serantau atau 'regional' yang dianggotai oleh ketiga-tiga negara iaitu Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia dan bertanggungjawab terhadap soal-soal kebahasaan dan kesusasteraan Melayu/Indonesia) yang diadakan sama ada di Negara Brunei Darussalam, Indonesia atau pun Malaysia.

Pada tahun ini, 2008, saya diberi penghormatan untuk menyampaikan syarahan MABBIM di ketiga-tiga negara anggota MABBIM. Syarahan tersebut telah disampaikan pada:
  • 19hb Januari, 2008 bertempat di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam
  • 22hb Januari, 2008 bertempat di Universitas Ageng Tirtayasa, Serang, Banten, Republik Indonesia, dan
  • 24hb Januari, 2008 bertempat di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor, Malaysia
Tajuk syarahan yang saya sampaikan ialah "Bahasa Melayu Pengukuh Jati Diri Bangsa - Dari Perspektif Dunia Korporat". Abstrak syarahan tersebut adalah seperti berikut:-

"Para sarjana linguistik sering menekankan peranan bahasa sebagai alat penyerlah akal budi penuturnya. Manusia berfikir dengan bantuan konsep-konsep atau kosa kata yang wujud dalam bahasa yang dikuasainya dan dengan yang demikian, bahasa berperanan sebagai wahana penyerlah akal budi penuturnya. Hanya dengan bantuan bahasa, manusia mampu menanggapi dan mengungkapkan pengalaman yang telah atau bakal ditempuhi dalam kehidupan sehari-hari.   Bahasa dan hakikat kehidupan para penuturnya merupakan dua aspek yang ditanggapi oleh para sarjana sebagai amat erat hubunganya. Pandangan-pandangan yang dikemukakan jelas membayangkan bahawa bahasa bukan sahaja berfungsi sebagai wahana komunikasi. Unsur yang terkandung dalam sesuatu bahasa dan cara unsur bahasa ini digunakan juga  menggambarkan corak kehidupan lahiriah dan ‘pandangan atau  penglihatan terhadap dunia’ (weltanschauung) para penggunanya. Dengan demikian dapatlah kita mengandaikan bahawa bahasa Melayu bukan sahaja berfungsi sebagai wahana komunikasi masyarakat Melayu tetapi juga berfungsi sebagai penggambar corak kehidupan lahiriah dan weltanschauung masyarakat Melayu.

Dari perspektif budaya pula, bahasa sering digambarkan sebagai akar budaya sesuatu bangsa.  Pengamal budaya ialah manusia. Manusia yang berbudaya ialah manusia yang mempunyai bahasa. Bahasa  yang digunakan oleh penuturnya dan pemakainya merupakan ekspresi budaya, sehingga dengan yang demikian, pengucapan mahupun pemakaiannya mencerminkan jati diri bangsa serta individu pemakainya.

Tidak syak lagi bahawa bahasa Melayu memang sudah sejak kewujudannya lagi merupakan milik bangsa Melayu dan ianya merupakan sebahagian daripada bahasa-bahasa utama di dunia. Dalam mendepani arus pembangunan dan rempuhan gelombang globalisasi masa kini,  kekukuhan bahasa Melayu  tampak seperti  tercabar, lebih-lebih lagi dengan pendominasian bahasa Inggeris dalam komunikasi dan informasi global. Jaminan untuk menjadikan bahasa Melayu itu kukuh dan tetap utuh bertahan seperti hari ini terletak di tangan pemiliknya, iaitu bangsa Melayu itu sendiri. Apa yang penting adalah untuk menghimbau kesedaran dan tindakan mereka untuk menjamin bahasa Melayu tidak dipinggirkan dalam arus perdana pembangunan.

Keperluan terhadap peneguhan sikap bangsa Melayu terhadap bahasa Melayu sebagai warisan budaya bangsa yang paling berharga menjadi lebih penting dan mendesak dalam konteks globalisasi kerana jika tidak, kita mungkin akan kehilangan jati diri dan nilai setempat.

Sebagai seorang warga korporat yang berbangsa Melayu, saya melihat peranan bahasa Melayu itu sama pentingnya dalam semua urusan baik di sektor awam mahu pun di sektor swasta. Lebih-lebih lagi apabila badan korporat itu didaftarkan sebagai badan korporat tempatan dan ianya beroperasi dalam persekitaran yang mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara serta meletakkan Melayu sebagai salah satu inti pati falsafah negara iaitu konsep Melayu Islam Beraja. Konsep memiliki kebenaran untuk beroperasi (“licence to operate”) banyak bersandar kepada kepekaan badan korporat terhadap persekitaran di mana ia beroperasi. Ini termasuklah menangani isu-isu budaya dan bahasa yang ditimbulkan oleh persekitaran tersebut selain daripada isu-isu urusniaga yang lain yang secara langsung mengandungi nilai ekonomi terhadap badan korporat tersebut.  

Konsep menangani tanggung jawab sosial korporat (corporate social responsibility) sebagai komponen penting dalam proses urusniaganya dilihat sangat relevan untuk mempromosikan badan korporat itu  sebagai warga korporat yang bertanggungjawab (responsible corporate citizen). Pelaksanaan tanggung jawab sosial ini dimanifestasikan dalam  penglibatan badan ini dalam kegiatan-kegiatan yang berbentuk pelaburan sosial,  termasuklah kegiatan-kegiatan  mempromosikan budaya dan bahasa Melayu. Sebagai contoh, lihat kegiatan  yang diungkayahkan oleh Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd. (BSP) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei Darussalam.

Cabaran-cabaran bagi mengukuhkan penggunaan bahasa Melayu di dalam sektor swasta dan badan korporat akan diperincikan lagi dalam syarahan ini dan beberapa saranan diajukan agar kedudukan bahasa Melayu nanti tetap utuh dan mantap di tengah-tengah badai globalisasi yang semakin deras melanda dan dengan yang demikian mengukuhkan lagi jati diri bangsa." 


- Pamit/Puda -


1 comment:

awang kata said...

Sewajarnya setelah lebih 50 tahun merdeka, hal bahasa khususnya dalam memartabatkan bahasa kebangsaan tidak timbul lagi. Apakah yang tersirat berlakunya hal sedemikian, andai persoalan bahasa kebangsaan masih juga menjadi isu.