Tuesday, 25 March 2008

Keagungan ciptaan Allah yang menakjubkan

Kita sebenarnya jauh lebih hebat daripada apa yang kita sangkakan

Tuhan menganugerahkan kita kehebatan yang menakjubkan. Kita dibekalkan salah satu organ yang tercanggih dalam dunia, iaitu otak. Sel utama yang menggerakkan otak kita ialah neuron. Otak manusia mengandungi lebih sepuluh bilion neuron (10 000 000 000).

Saintis yang mengkaji otak manusia menganggarkan keupayaan otak kita boleh menyimpan 125.5 trilion ingatan. Jumlah ini adalah 10 000 kali ganda maklumat yang terdapat di dalam Encyclopedia Britanica! Ada saintis yang menganggarkan bahawa otak kita juga berupaya menyimpan lebih banyak maklumat dari semua perpustakaan yang terdapat di dunia. Ia juga lebih hebat dari mana-mana komputer tercanggih hari ini.

Mungkin ramai yang terkejut dengan pendedahan di atas apatah lagi kerana mereka sering memperkecilkan kebolehan diri sendiri. Ini boleh membantut perkembangan potensi mereka kerana tidak yakin akan kebolehan dan kemampuan diri sendiri. Kita sebenarnya hebat dan diciptakan Allah dengan pelbagai kebolehan. Kehebatan yang sedia ada dipadukan dengan usaha yang lebih mantap boleh menggilap potensi diri sebaik mungkin. Seperti kata pepatah Melayu: "Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya".


- Pamit/Puda - 

Wednesday, 19 March 2008

Renungan Hari Ini

"Success depends on what YOU do with YOU"
Ron Jenson

Kejayaan bergantung kepada apa yang AWDA lakukan dengan diri AWDA

Apa jua yang kita lakukan dan bukan apa yang orang lain lakukan yang akan menentukan kejayaan buat diri sendiri. Ini bermakna kejayaan buat diri kita adalah tanggungjawab kita sepenuhnya. Orang lain pula bertanggungjawab ke atas diri mereka masing-masing.


"Kejayaan bergantung ke atas apa yang kita lakukan terhadap diri sendiri"

Kita perlu ingat bahawa kitalah yang bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kejayaan diri sendiri. Orang lain hanya boleh membantu, menegur, memberi nasihat dan peringatan, serta membimbing dan menolak kita dari belakang. Sebaliknya tanggungjawab untuk bertungkus lumus  dan bertindak untuk menjayakan sesuatu kerja terletak pada diri kita sendiri.

Jadi, apa yang kita lakukan terhadap diri sendirilah yang akan menentukan kejayaan atau sebaliknya. Jika kita menggunakan segala potensi yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita untuk mencapai matlamat tertentu, bersikap lebih positif, serta berusaha bersungguh-sungguh, nescaya kita akan berjaya.

Jadi kesimpulannya, untuk tujuan apa kita gunakan potensi diri yang ada pada diri sendiri dan sehebat mana kita menggilap potensi itu akan menentukan kejayaan buat diri kita. Jadi kejayaan banyak bergantung kepada apa yang kita lakukan terhadap diri sendiri.

- Pamit/Puda -  

Tuesday, 18 March 2008

ESTIM DIRI (SELF ESTEEM)

Setiap orang mempunyai berbagai cara untuk menerangkan atau mengenalkan diri masing-masing. Ada yang memberikan maklumat mengenai rupa paras, usia, jantina, bangsa, dari mana beliau berasal dan sesetengahnya pula akan memberikan maklumat ciri-ciri peribadi masing-masing ataupun perkara-perkara yang mereka minati atau suka lakukan. Mereka mungkin memberitahu sekarang mereka masih menuntut, sudah bekerja, mereka suka berlakon ataupun mereka orang yang mudah risau.

Bagi sesetengah orang pula mereka tidak tahu dan tidak mahu menerangkan siapa diri mereka. Bukan semua orang dapat menerangkan mengenai diri mereka sendiri dengan mudah. Ini kerana bagi menerangkan perkara mengenai diri sendiri, kita sebenarnya dikehendaki menerangkan konsep-diri kita.

Salah satu aspek yang digunakan bagi mengukur konsep-diri adalah estim diri. Estim-diri ialah perasaan yang kita rasai mengenai nilai-diri kita dan ia sebahagian daripada konsep-diri. Ia juga bahagian yang menilai diri kita. Estim-diri ialah sejauh mana kita suka pada diri kita sendiri. Apabila estim-diri kita rendah, kita tidak berapa suka pada diri sendiri dan sebaliknya apabila estim-diri kita tinggi, kita akan suka pada diri kita sendiri.

Mengapakah sesetengah orang selalu risau, sedih dan murung, susah tidur serta asyik mengadu mengalami penyakit itu dan ini? (sounds a  bit like Tuk Minah!)  Padahal, doktor mengatakan mereka tidak mempunyai apa-apa penyakit.

Kajian-kajian yang dibuat oleh pakar-pakar psikologi mendapati estim-diri yang rendah menimbulkan pelbagai masalah. Orang -orang yang mempunyai konsep-diri yang negatif cenderung mengalami lebih banyak masalah emosi sekiranya dibandingkan dengan orang-orang yang mempunyai konsep-diri yang positif. Antara masalah-masalah emosi yang sering mereka alami adalah risau, rasa gemuruh, tidak tenteram, sedih, murung, cepat marah, meradang, tidak bahagia, suka menyampah, rasa terpencil, tak dapat tidur, sakit-sakit dan macam-macam lagi.

Estim-diri yang rendah juga ada kaitan dengan sikap pemalu, rasa canggung bila berada di khalayak ramai, terlalu perasan pada kekurangan diri dan sangat takut sekiranya orang tidak suka pada dirinya. Orang-orang yang mempunyai estim-diri yang rendah juga menunjukkan sikap terlalu ingin diterima oleh orang-orang lain tetapi mereka tidak tahu cara bagaimana hendak melakukannya. Oleh itu mereka jarang menjadi anggota kumpulan-kumpulan formal seperti persatuan-persatuan dan kelab-kelab. Mereka juga kurang melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan kemasyarakatan. Oleh itu mereka selalu tersisih dan kesepian.

Mengapakah ada orang yang sering sahaja suka mencari cacat-cela orang lain? Ada pula orang yang suka mengumpat dan memburuk-burukkan orang lain. Semua orang salah pada pandangan mereka.

Kajian-kajian juga mendapati orang-orang yang memiliki konsep-diri yang negatif tidak suka kepada orang-orang lain. Mereka suka mencari cacat cela orang-orang lain. Mereka suka mengata, mengumpat dan mencaci orang-orang lain kerana dengan memburuk-burukkan orang lain mereka berasa diri mereka lebih baik apabila dibandingkan dengan orang -orang itu. Tapi sayangnya, perbuatan memburuk-burukkan orang lain hanya membuatkan mereka membenci orang-orang lain. Oleh itu mereka akan menunjukkan perangai-perangai yang negatif kepada orang-orang itu. Perbuatan ini menyebabkan orang lain membenci mereka dan akibatnya mereka makin tersisih dan kesepian.

Setakat ini sahaja dahulu dan moga kita jumpa lagi di halaman akan datang.....Assalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarkatuh dan salam hormat.


- Pamit/Puda - 

Saturday, 15 March 2008

Konsep Diri

Di dua halaman blog yang lepas, kita utarakan persoalan mengenal kehebatan dan potensi diri secara makro iaitu melihat 'diri' sebagai komponen atau ahli kepada masyarakat atau suatu umat. Ia setentunya dilihat dari perspektif Islam. Kali ini kita cuba membicarakan soal mengenali diri secara mikro iaitu diri sebagai individu dan melihatnya pula dari perspektif psikologi. (Macam pakar psikologi saja bunyinya.......!!)

Sebelum itu saya ingin mengongsikan pengalaman peribadi saya mengenai istilah 'konsep-diri'. Hampir setiap kali saya membawa anak lelaki saya membeli belah untuk membeli pakaian, beliau  sering bersungut bahawa baju atau seluar yang dijual tidak cocok atau serasi dengan bentuk dan susuk badannya. Ada saja alasan yang diluahkannya seperti badannya kelihatan terlalu kecil, kurang tinggi, tidak lebar dan sebagainya.  Sehingga beliau menggubah sebuah perumpamaan yang menggambarkan betapa hodohnya mengenakan sehelai baju-T yang tidak sesuai seperti....."karung guni tergantung di badan".

Gabungan semua anggapan atau kepercayaan kita mengenai diri kita sendiri, termasuk apa sahaja yang kita percaya mengenai sifat-sifat semula jadi diri, ciri-ciri unik peribadi dan perangai-perangai kita adalah dikategorikan dalam istilah konsep-diri.

Menurut Prof. Abdullah Hassan & Ainon Mohd di dalam buku mereka "Pandai Berfikir", setiap orang mempunyai konsep-diri yang boleh digolongkan kepada empat jenis, iaitu:
  1. Konsep-diri mengenai jasmani kita,
  2. Konsep-diri mengenai kehidupan sosial kita,
  3. Konsep-diri mengenai emosi kita,
  4. Konsep-diri mengenai daya intelek kita. 
Dan kita masing-masing mempunyai lebih daripada satu konsep-diri.

Adakah awda menganggap diri awda seorang yang tampan, gagah, sihat dan tinggi dalam bakat kesukanan? Adakah awda berasa diri awda tidak cantik, sudah tua, gemuk, pendek, hitam, terlalu kurus dan tidak ada daya tarikan? Itu adalah konsep-diri jasmaniah awda.

Adakah awda berasa disukai kawan-kawan, popular, ada bakat kepimpinan, pandai menyesuaikan diri dalam kumpulan dan pandai mengambil hati orang lain? Adakah awda berasa awda tidak pandai bergaul, terlalu pemalu, tidak popular, tidak disukai orang lain dan tidak pandai mengambil hati orang lain? Itu adalah konsep-diri kehidupan sosial awda.

Adakah awda menganggap diri awda seorang yang periang, beremosi stabil, pandai mengawal perasaan, pandai mengawal rasa marah, cemburu, sedih dan dendam? Adakah awda berasa awda seorang yang tahu menghiburkan hati sendiri, pandai menaikkan semangat sendiri dan pandai merawat emosi sendiri? Itu adalah konsep-diri emosi awda.

Adakah awda menganggap awda seorang yang pintar, bijaksana, cerdas, bodoh atau dungu? Itu adalah konsep-diri intelektual awda.

Setiap konsep-diri yang kita miliki mempunyai ciri pemikiran dan perasaannya sendiri. Ia berbeza-beza dengan konsep-konsep diri yang lain. Sebagai contoh, kita mungkin mempunyai lebih maklumat mengenai kemahiran sosial yang kita miliki, oleh itu kita berasa yakin mengenai keupayaan kita dalam perkara itu. Sebaliknya kita mungkin kurang maklumat mengenai bakat jasmani kita, oleh itu kita berasa kurang yakin mengenai keupayaan jasmaniah kita itu.

Pada bila-bila waktu, apabila mana-mana konsep-diri kita sedang beroperasi, pemikiran-pemikiran dan perasaan-perasaan yang berkaitan dengannya memberi pengaruh yang kuat ke atas cara-cara bagaimana kita memproses maklumat-maklumat mengenai diri kita. Sebagai contoh, apabila kita berada dalam majlis rasmi, konsep-diri sosial kita akan beroperasi. Sekiranya kita memikirkan kita tidak pandai bergaul, maka kita berasa tidak yakin pada diri sendiri dalam majlis itu. Begitu juga apabila kita berada dalam bilik kuliah, konsep-diri intelektual kita akan beroperasi. Kita akan mengalami pemikiran-pemikiran dan perasaan-perasaan yang mengiringi konsep-diri intelektual kita itu. Sekiranya konsep-diri kita mengatakan "Saya seorang yang pintar", kita akan berasa yakin mendengar apa yang dikuliahkan. Sebaliknya juga begitu.

Konsep-diri kita kuat pengaruhnya ke atas cara-cara bagaimana kita memproses apa juga maklumat mengenai diri kita, oleh itu ia menentukan bagaimana kita melihat diri kita sendiri dan bagaimana kita melihat diri orang-orang lain. Konsep-konsep diri kita mempengaruhi perilaku kita sekarang dan juga perilaku kita pada masa akan datang.

 Konsep-diri bukan sesuatu yang nyata dan jelas, tetapi apabila ia sudah tercipta, ia sukar diubah. Kita memiliki kecenderungan untuk memelihara konsep-diri kita, mengekalkannya dan memperkukuhkannya. Sama ada konsep-diri kita itu positif ataupun negatif, kita cenderung mempertahankan konsep-diri kita itu. Itu adalah penyebab konsep-diri kita agak stabil sepanjang hidup kita.

Konsep-diri kita ialah gambaran kita mengenai diri kita sendiri. Gambaran itu termasuk perkara-perkara seperti rupa paras diri kita dan gambaran siapa diri kita dahulu, sekarang dan pada masa depan.  

Sekian buat setakat ini. Jumpa lagi di ruang halaman blog akan datang. Assalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarkatuh dan Salam Hormat.......


- Pamit/Puda -   

  

Wednesday, 12 March 2008

Mengenal Kehebatan dan Potensi Diri

Sebelum kita jauh melangkah mencari ikhtiar dan jalan ke arah kecemerlangan dan keunggulan, kita terlebih dahulu perlu mengenal kehebatan dan potensi diri. Kita mengenali diri kita sebagai umat Islam dan umat Muhammad. Umat ini adalah umat yang terbaik. Dalam surah Ali Imran ayat 110 Allah berfirman, "Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan bagi manusia, kamu menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah."

Mengikut Imam Qatadah, khalifah Omar bin Khattab pernah berkata berhubung dengan ayat ini, "Sesiapa yang suka digolongkan dalam golongan umat yang terbaik ini, tunaikanlah syarat Allah yang terdapat dalam ayat ini." Sahabat-sahabat nabi berjaya menunaikan syarat-syarat ini, justeru mereka berjaya mencipta sejarah gemilang yang tidak ada tolok bandingan. Apabila kita juga mampu menunaikan syarat-syarat ini, kita juga berjaya.

Sebenarnya, dunia tidak pernah menemui golongan sehebat umat ini. Mengikut sebuah hadis bertaraf hasan yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, nabi berkata, "Kamu menggenapkan tujuh puluh umat yang diutus dan kamu adalah yang terbaik dan termulia dari kalangan mereka."

Dalam surah al-Baqarah ayat 143, Allah menggelar umat ini sebagai ummatan wasatha melalui firmannya yang bermaksud, "Dan demikianlah Kami telah menjadikan kamu umat wasatha supaya kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan rasul menjadi saksi atas perbuatanmu."

Kalimat wasatha bermaksud yang terbaik. Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azim berkata, "Umat ini merupakan umat terbaik. Oleh kerana itu, Allah mengurniakan kepadanya syariat paling lengkap, landasan paling kukuh serta pandangan hidup paling jelas." Wasatha juga bermaksud 'adil' seperti yang disebut di dalam al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa. Justeru, ummatan wasatha bermaksud umat terbaik lagi adil.

Kehebatan umat ini disedari oleh tokoh-tokoh Barat. Robert Briffault di dalam bukunya The Making of Humanity memuji umat ini dengan berkata, "Renaissance atau era kebangkitan sebenarnya sudah berlaku di tangan orang-orang Arab dan Islam Sepanyol dan bukannya di tangan orang-orang Eropah. Sepanyol dan bukan Itali peledak kepada kebangkitan di Eropah."

Pandangan yang diutarakan oleh Robert Briffault ini dipersetujui oleh Philip K. Hitti. Di dalam The History of the Arabs beliau berkata, "Orang Islam Sepanyol berjaya mencatat sejarah keintelektualan yang agung pada zaman pertengahan dahulu. Mereka sebenarnya pembawa obor budaya dan tamadun bagi seluruh dunia terutamanya antara abad kelapan dan tiga belas Masihi."

Antara sebab kejayaan umat Islam sebelum ini adalah cara fikir yang berbeza daripada orang lain. Hal ini disebutkan oleh Marmaduke Picktall di dalam Islamic Culture, "Semasa orang Islam keluar mencari ilmu dengan nama Tuhan, golongan Kristian menghancurkan khazanah ilmu yang dihasilkan oleh golongan terdahulu atas nama nabi Isa."

Memang benar, dunia berubah kesan daripada proses perubahan yang dibawa oleh umat Islam. Cara dan budaya hidup Islam yang unggul menjadi contoh manusia sejagat. Hal ini dijelaskan oleh Robert Briffault di dalam The Making of Humanity. Beliau berkata, "Konsep kebebasan manusia, persaudaraan sesama insan dan persamaan hak di kalangan manusia termasuk hak bersuara merangsang beberapa kejadian penting dalam sejarah seperti Revolusi Perancis, Deklarasi Hak Asasi Manusia di Amerika Syarikat dan perjuangan ke arah kemerdekaan di negara-negara Amerika Latin. Sebenarnya, konsep-konsep ini bukan hak cipta masyarakat barat. Ia sebenarnya ajaran yang ada di dalam Quran yang dihayati oleh orang-orang Islam. Konsep-konsep ini kemudiannya mempengaruhi masyarakat Eropah. Besar kemungkinan, jika tidak kerana orang-orang Arab, era kemodenan di Eropah tidak akan berlaku sama sekali."

Dunia terutamanya barat sepatutnya berterima kasih kepada umat ini kerana tanpa sumbangannya, dunia tidak dapat mengecap kemajuan dan pembangunan seperti yang dikecapi pada hari ini. Hal ini dinyatakan tanpa segan silu oleh Carleton S. (Carly) Fiorina, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hewlett-Packard Company, semasa beliau menyampaikan ucapan yang bertajuk Technology, Business and Our Way of Life: What's Next pada 26 September 2001 di Minneapolis, Minnesota.

Beliau berkata, "Pada suatu masa dahulu, wujud suatu tamadun terbesar di dunia. Empayarnya begitu luas, bersambung-sambung dari lautan ke lautan, menjangkau kawasan utara, tropika dan padang pasir. Di bawah kuasanya terdapat ratusan juta manusia daripada pelbagai agama, bangsa dan keturunan. Salah satu bahasanya menjadi bahasa universal yang digunakan dalam percakapan sebahagian besar manusia pada hari ini. Tentera-tenteranya dianggotai oleh manusia daripada pelbagai latar belakang dan penaklukannya mendatangkan keamanan dan kemewahan yang tidak ada tolok bandingan. Perniagaan yang melibatkan tamadun ini berkembang dari Amerika Latin ke negara China dan antara kedua-duanya. Tamadun ini hidup subur digerakkan oleh ciptaan-ciptaan baru. Arkitek-arkiteknya mampu membina bangunan tinggi yang melawan graviti. Pakar-pakar matematiknya mencipta konsep algebra dan algoritma. Konsep-konsep ini membantu penciptaan komputer dan encryption pada hari ini. Tokoh-tokoh perubatannya menemui ubat-ubatan baru yang digunakan bagi merawat pelbagai penyakit. Tokoh-tokoh astronominya meneropong langit dan memberi nama kepada bintang-bintang dan sekali gus membuka jalan kepada penerokaan angkasa raya. Penulis-penulisnya menulis ribuan cerita. Tamadun yang saya maksudkan ini sebenarnya adalah tamadun Islam, yang berkembang dari tahun 800-1600 Masihi."  


- Pamit/Puda -    

 

Friday, 7 March 2008

Melangkah Menuju Keunggulan/Kecemerlangan

Umat Islam adalah umat yang hebat. Dalam masa yang singkat, mereka berjaya menguasai dunia dengan ilmu dan tamadun. Pencapaian seumpama ini tidak pernah berlaku dalam sejarah manusia. A.M. Lothrop Stoddard di dalam The New World of Islam berkata, "Kebangkitan Islam adalah episod yang paling mengkagumkan dalam sejarah manusia. Ia lahir di bumi yang tidak terkenal; kemudian dalam jangka masa hanya satu abad, ia berkembang sehingga menguasai separuh alam. Dalam proses itu ia meruntuhkan empayar-empayar besar dan serentak dengan itu ia membentuk hati-hati manusia sehingga akhirnya berjaya menegakkan dunia baru iaitu dunia Islam."

Kejayaan ini tidak berlaku secara magis. Ia juga tidak berlaku secara spontan. Ia dicapai kerana formula yang digunakan adalah formula Allah Yang Maha Mengetahui. Formula ini mementingkan perubahan dalaman. Ia mementingkan iman serta kebersihan hati. Dengan kedua-dua ini, segala bisikan yang menyesatkan dapat ditangkis dan segala kealpaan dapat dikawal. Allah menyatakan dalam surah an-Nahl ayat 99 hingga 100 yang bermaksud, "Sesungguhnya syaitan tidak ada kekuasaan ke atas orang-orang yang beriman serta bertawakal kepada Tuhannya. Sesungguhnya kekuasaan syaitan hanyalah ke atas mereka yang mengambilnya menjadi pemimpin dan mereka yang mempersekutukannya dengan Allah."

Dalam surah al-Hijr ayat 39 hingga 40 pula Allah menegaskan, "Iblis berkata, 'Ya Tuhanku, oleh sebab Kamu telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambamu yang ikhlas." Apabila hati individu itu dipenuhi iman, ikhlas serta tawakal, jalan menuju kejayaan serta keunggulan menjadi lebih mudah.

Dalam perjalanan menuju keunggulan, aset utama yang perlu dimanfaatkan adalah DIRI SENDIRI. Manusia dijadikan Allah dengan pelbagai potensi. Untuk berjaya, potensi-potensi ini perlu digilap dengan menggunakan ramuan yang betul. Firaun menggunakan ramuan yang salah. Dia menggilap kuasanya dengan sikap bongkak. Demikian juga dengan Qarun. Dia menggilap kekayaannya dengan sifat sombong. Kedua-duanya akhirnya tenggelam, Firaun tenggelam di laut dan Qarun ke dalam bumi, penuh kehinaan.

Salah satu aset penting yang Tuhan anugerahkan kepada manusia adalah akal. Bagi mencapai keunggulan, umat Islam perlu menggilap akal dengan ilmu. Ilmu, terutamanya ilmu agama, penting bagi menangkis serangan iblis dan syaitan. Ilmu juga penting bagi mengenal hak dan batil, halal dan haram, sah dan batal, serta keutamaan-keutamaan dalam hidup. Allah menyatakan dalam surah al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud, "Allah mengangkat orang-orang yang beriman dan berilmu di kalangan kamu beberapa darjat." Nabi juga bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tabrani yang bermaksud, "Tidak ada ibadah kepada Allah yang lebih utama daripada kefahaman agama. Sesungguhnya seorang yang mendalam ilmu agamanya (fakih) lebih susah untuk diperdayakan syaitan berbanding seribu orang ahli ibadah."

Bagi mencapai keunggulan, kekuatan dan potensi yang ada perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Di samping itu, halangan-halangan perlu dikenal pasti supaya langkah-langkah pencegahan dapat diambil sejak dari awal lagi. Inilah formula-formula asas yang diperlukan. Walau bagaimanapun, formula-formula ini perlu diperincikan supaya kita jelas dan yakin tentang jalan yang hendak dilalui menuju keunggulan. Formula-formula ini perlu merujuk kepada Quran dan sunah supaya kejayaan yang dicapai diberkati Allah.


Wallahu A'lam dan Allahu Akbar.......hingga ketemu lagi, Assalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarkatuh dan salam hormat.


- Puda/Pamit -   

Thursday, 6 March 2008

Daya Fikir

Dalam konteks membuat penilaian potensi seseorang pekerja, daya fikir individu terbahagi kepada tiga peringkat atau tahap:

Daya fikir Operasional memperlihatkan ciri-ciri berikut:
  • Bertindak menurut apa yang dilihat, didengar dan dirasa
  • Melihat fakta-fakta yang mudah (simple) dan nyata
  • Bertindak kebiasaannya menurut arahan
  • Kurang membuat inisiatif sendiri
  • Reaktif dan melihat dari kacamata jangka pendek
Ciri-ciri daya fikir Taktikal pula adalah seperti berikut:
  • Berupaya membuat analisis terhadap maklumat yang diperolehi
  • Melihat sesuatu daripada sudut pros dan cons
  • Menguatkan hujjah dengan fakta yang logik
  • Berfikir secara kritis
Dan,  daya fikir Strategik akan memperlihatkan ciri-ciri berikut:
  • Kebolehan membuat keputusan yang kritikal dan menghasilkan penyelesaian yang praktis berdasarkan kepada analisis yang teliti ke atas maklumat yang diperolehi
  • Memfokus kepada isu-isu penting walaupun terdapat banyak faktor yang kompleks dan taksa (ambiguous)
  • Mencari maklumat yang relevan, mencabar pendekatan yang wujud masa kini, mencipta penyelesaian yang mengambil kira keperluan jangka pendek dan implikasi jangka panjang
  • Mengambil iktibar dan pengajaran daripada orang lain
Demikian serba ringkas penghuraian tentang tiga tahap daya fikir seseorang individu dalam konteks membuat anggaran potensi seseorang pekerja yang bekerja dalam organisasi Shell. Wallahu A'lam.........dan hingga jumpa lagi di ruang blog akan datang, salam hormat.


- Pamit/Puda -

Tuesday, 4 March 2008

Anggaran Potensi Masakini (Current Estimated Potential - CEP)

Istilah 'Current Estimated Potential -CEP' atau Anggaran Potensi Masakini adalah satu istilah yng diguna pakai oleh Syarikat BSP atau syarikat-syarikat Shell yang lainnya bagi menentukan tahap potensi seseorang pekerja atau kakitangannya. Definisi Anggaran Potensi Masakini adalah seperti berikut :-
“Anggaran realistik masakini bagi pekerjaan tertinggi yang boleh dilakukan seseorang individu dalam kerjayanya masa hadapan di dalam organisasi Shell”

Apabila menentukan potensi seseorang individu pekerja, ada tiga elemen penting yang perlu diambil kira. Elemen-elemen tersebut adalah: Kapasiti (capacity) - Daya Berfikir, Pencapaian (Achievement) - Daya Bertindak, dan Hubungan (Relationship) - Interaksi dengan Manusia - Kemahiran Sosial.  

Kapasiti - Daya berfikir
Seseorang pekerja dikategorikan sebagai mempunyai tahap kapasiti yang tinggi apabila beliau menunjukkan kebolehan atau karakteristik, yang antara lain, seperti berikut:
  • Kebolehan membuat keputusan yang kritikal dan menghasilkan penyelesaian yang praktis berdasarkan kepada analisis yang teliti ke atas maklumat yang diperolehi
  • Memfokus kepada isu-isu penting walaupun terdapat banyak faktor yang kompleks dan taksa (ambiguous)
  • Mencari maklumat yang relevan, mencabar pendekatan yang wujud masakini, mencipta penyelesaian yang mengambil kira keperluan jangka pendek dan implikasi jangka panjang
  • Mengambil iktibar dan pengajaran dari orang lain
Pencapaian - Daya Bertindak
Untuk mencapai tahap pencapaian yang baik, seseorang pekerja perlu mempunyai kebolehan dan karakteristik yang berikut:
  • Penekanan kepada hasil tugasan (delivery) yang berkualiti tinggi ekoran daripada penyediaan gol yang berkesan (efektif)
  • Bekerja secara teratur dan penuh komitmen
  • Memulakan pembaikan/peningkatan yang bersesuaian dan secara berterusan
  • Boleh bekerja secara efektif dalam suasana yang sukar
  • Sentiasa mencari peluang bagi mengembangkan bidang tanggungjawab dalam pekerjaan
  • Cenderung untuk mendapatkan maklum balas
Hubungan - Interaksi dengan manusia - Kemahiran Sosial
Aspek hubungan (relationship) memberi tumpuan kepada ciri-ciri yang berikut:
  • Penekanan kepada komunikasi yang jelas, terbuka dan terangkum (inclusive)
  • Mewujudkan hubungan yang konstruktif dan meluahkan pendapat berlawanan secara konstruktif
  • Membina kepercayaan, mendengar dan meminta pendapat daripada orang lain
  • Mempunyai kemahiran mempengaruhi yang baik, bersedia memberi maklum balas yang konstruktif dan berinteraksi secara sesuai dengan mereka yang berlatar belakangkan budaya yang berlainan
Apabila membicarakan daya berfikir, dalam konteks BSP ada tiga tahap daya berfikir yang dikenal pasti, iaitu: daya berfikir secara operasional, daya berfikir secara taktikal dan daya berfikir secara strategik. Kita akan perincikan ciri-ciri daya berfikir dalam ketiga-tiga tahap ini di keluaran laman blog ini yang akan datang..........teruskan membaca dan salam hormat.


- Pamit/Puda -


Sunday, 2 March 2008

Sejenak berbicara mengenai perbezaan antara Pandai Berfikir dengan Pandai Belajar

  • Pandai berfikir tidak serupa dengan pandai belajar
  • Kedua-dua kemahiran ini penting bagi kejayaan dalam dunia akademik mahupun dalam dunia pekerjaan
  • Mendapat markah peperiksaan yang tinggi membuktikan individu berkenaan adalah seorang yang mempunyai kemahiran belajar dan kemahiran menjawab soalan peperiksaan
  • Orang yang pandai berfikir mempunyai pelbagai keupayaan yang tidak dimiliki oleh individu-individu yang HANYA pandai belajar dan pandai menjawab soalan dalam kertas peperiksaan
  • Salah satu daripada keupayaan itu adalah melihat jauh ke masa hadapan berdasarkan apa yang ada pada masa sekarang, suatu kemahiran yang penting bagi tugas-tugas perancangan dan strategi
  • Pandai meramalkan trend-trend yang akan berlaku dan mencadangkan strategi bagi menghadapi trend-trend baru itu
  • Mempunyai keupayaan melihat sesuatu isu ataupun masalah daripada pelbagai sudut baru yang belum pernah dilihat sebelumnya
Nota kaki (foot notes)
Dalam konteks BSP, orang yang pandai berfikir adalah dianggap individu yang mempunyai tahap kapasiti yang tinggi. Kapasiti merupakan komponen penting dalam menganggarkan potensi seseorang individu pekerja. Topik potensi atau lebih spesifik lagi Anggaran Potensi Masakini (Current Estimated Potential - CEP) akan saya bincangkan di masa akan datang, insya Allah. Teruskan membaca................


- Pamit/Puda -

Saturday, 1 March 2008

Penilaian Gol dan Prestasi Pekerjaan (Goals and Performance Appraisal)

Seperti yang dijanjikan, kita akan meneruskan perbincangan mengenai dengan ukuran tahap kecemerlangan individu pekerja menerusi proses Penilaian Gol dan Prestasi Pekerjaan (Goals and Performance Appraisal) yang diamalkan dalam sistem pengurusan BSP. Ada beberapa hal yang ditekankan dalam sistem Penilaian Gol dan Prestasi ini. Pertama, pentingnya individu mempunyai perancangan dalam menjalankan tugas masing-masing. Kedua, dalam membuat perancangan, kita perlu ada matlamat pada setiap tugasan kita, yang mana menghendakki kita mewujudkan Kontrak Prestasi (Performance Contract) dalam bentuk Tugasan dan Sasaran (Tasks and Targets). Dan ketiga, Tugasan dan Sasaran perlulah SMART yang bermaksud:
  • S - Specific
  • M - Measurable
  • A - Achievable
  • R - Relevant
  • T - Time-framed
Dalam membuat penilaian prestasi, ada beberapa aspek perilaku (behaviours) yang hendak dikenalpasti dalam diri individu. Tiga aspek yang penting ialah Kepimpinan (Leadership), Akauntabiliti dan Kerja Berpasukan (Teamwork).

Dalam perilaku Kepimpinan, dari perspektif sistem pengurusan BSP, yang ditekankan adalah keupayaan membina wawasan yang dikongsikan bersama (building a shared vision). Oleh yang demikian, individu yang menonjolkan sifat-sifat kepimpinan yang baik perlu mempunyai fokus, berorientasikan manusia (people oriented) dan mempunyai set-minda luaran (external mindset).

Atribut Akauntabiliti pula menekankan bahawa seseorang pekerja itu perlu menonjolkan sifat-sifat dorongan (drive), disiplin dan sentiasa memberikan komitmen kepada penyerahan hasil tugasan (delivery).

Perilaku ketiga yang disebutkan di atas ialah Kerja Berpasukan. Dalam hal ini, sifat-sifat yang perlu ditonjolkan oleh seseorang pekerja ialah Kebolehan (Capability) dan sifat Cabar dan Bantu (Challenge and Support).

Demikian secara ringkas ciri-ciri utama dalam proses Penilaian Gol dan Prestasi dari perspektif sistem pengurusan sumber manusia syarikat BSP. Di kesempatan akan datang, kita akan membicarakan pula konsep Anggaran Potensi Masakini (Current Estimated Potential) sebagai komponen penting dalam mengukur kecemerlangan seseorang individu,

Hingga bertemu lagi, salam hormat....


- Pamit/Puda -