Kejayaan ini tidak berlaku secara magis. Ia juga tidak berlaku secara spontan. Ia dicapai kerana formula yang digunakan adalah formula Allah Yang Maha Mengetahui. Formula ini mementingkan perubahan dalaman. Ia mementingkan iman serta kebersihan hati. Dengan kedua-dua ini, segala bisikan yang menyesatkan dapat ditangkis dan segala kealpaan dapat dikawal. Allah menyatakan dalam surah an-Nahl ayat 99 hingga 100 yang bermaksud, "Sesungguhnya syaitan tidak ada kekuasaan ke atas orang-orang yang beriman serta bertawakal kepada Tuhannya. Sesungguhnya kekuasaan syaitan hanyalah ke atas mereka yang mengambilnya menjadi pemimpin dan mereka yang mempersekutukannya dengan Allah."
Dalam surah al-Hijr ayat 39 hingga 40 pula Allah menegaskan, "Iblis berkata, 'Ya Tuhanku, oleh sebab Kamu telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambamu yang ikhlas." Apabila hati individu itu dipenuhi iman, ikhlas serta tawakal, jalan menuju kejayaan serta keunggulan menjadi lebih mudah.
Dalam perjalanan menuju keunggulan, aset utama yang perlu dimanfaatkan adalah DIRI SENDIRI. Manusia dijadikan Allah dengan pelbagai potensi. Untuk berjaya, potensi-potensi ini perlu digilap dengan menggunakan ramuan yang betul. Firaun menggunakan ramuan yang salah. Dia menggilap kuasanya dengan sikap bongkak. Demikian juga dengan Qarun. Dia menggilap kekayaannya dengan sifat sombong. Kedua-duanya akhirnya tenggelam, Firaun tenggelam di laut dan Qarun ke dalam bumi, penuh kehinaan.
Salah satu aset penting yang Tuhan anugerahkan kepada manusia adalah akal. Bagi mencapai keunggulan, umat Islam perlu menggilap akal dengan ilmu. Ilmu, terutamanya ilmu agama, penting bagi menangkis serangan iblis dan syaitan. Ilmu juga penting bagi mengenal hak dan batil, halal dan haram, sah dan batal, serta keutamaan-keutamaan dalam hidup. Allah menyatakan dalam surah al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud, "Allah mengangkat orang-orang yang beriman dan berilmu di kalangan kamu beberapa darjat." Nabi juga bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tabrani yang bermaksud, "Tidak ada ibadah kepada Allah yang lebih utama daripada kefahaman agama. Sesungguhnya seorang yang mendalam ilmu agamanya (fakih) lebih susah untuk diperdayakan syaitan berbanding seribu orang ahli ibadah."
Bagi mencapai keunggulan, kekuatan dan potensi yang ada perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Di samping itu, halangan-halangan perlu dikenal pasti supaya langkah-langkah pencegahan dapat diambil sejak dari awal lagi. Inilah formula-formula asas yang diperlukan. Walau bagaimanapun, formula-formula ini perlu diperincikan supaya kita jelas dan yakin tentang jalan yang hendak dilalui menuju keunggulan. Formula-formula ini perlu merujuk kepada Quran dan sunah supaya kejayaan yang dicapai diberkati Allah.
Wallahu A'lam dan Allahu Akbar.......hingga ketemu lagi, Assalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarkatuh dan salam hormat.
- Puda/Pamit -
No comments:
Post a Comment