Bagi sesetengah orang pula mereka tidak tahu dan tidak mahu menerangkan siapa diri mereka. Bukan semua orang dapat menerangkan mengenai diri mereka sendiri dengan mudah. Ini kerana bagi menerangkan perkara mengenai diri sendiri, kita sebenarnya dikehendaki menerangkan konsep-diri kita.
Salah satu aspek yang digunakan bagi mengukur konsep-diri adalah estim diri. Estim-diri ialah perasaan yang kita rasai mengenai nilai-diri kita dan ia sebahagian daripada konsep-diri. Ia juga bahagian yang menilai diri kita. Estim-diri ialah sejauh mana kita suka pada diri kita sendiri. Apabila estim-diri kita rendah, kita tidak berapa suka pada diri sendiri dan sebaliknya apabila estim-diri kita tinggi, kita akan suka pada diri kita sendiri.
Mengapakah sesetengah orang selalu risau, sedih dan murung, susah tidur serta asyik mengadu mengalami penyakit itu dan ini? (sounds a bit like Tuk Minah!) Padahal, doktor mengatakan mereka tidak mempunyai apa-apa penyakit.
Kajian-kajian yang dibuat oleh pakar-pakar psikologi mendapati estim-diri yang rendah menimbulkan pelbagai masalah. Orang -orang yang mempunyai konsep-diri yang negatif cenderung mengalami lebih banyak masalah emosi sekiranya dibandingkan dengan orang-orang yang mempunyai konsep-diri yang positif. Antara masalah-masalah emosi yang sering mereka alami adalah risau, rasa gemuruh, tidak tenteram, sedih, murung, cepat marah, meradang, tidak bahagia, suka menyampah, rasa terpencil, tak dapat tidur, sakit-sakit dan macam-macam lagi.
Estim-diri yang rendah juga ada kaitan dengan sikap pemalu, rasa canggung bila berada di khalayak ramai, terlalu perasan pada kekurangan diri dan sangat takut sekiranya orang tidak suka pada dirinya. Orang-orang yang mempunyai estim-diri yang rendah juga menunjukkan sikap terlalu ingin diterima oleh orang-orang lain tetapi mereka tidak tahu cara bagaimana hendak melakukannya. Oleh itu mereka jarang menjadi anggota kumpulan-kumpulan formal seperti persatuan-persatuan dan kelab-kelab. Mereka juga kurang melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan kemasyarakatan. Oleh itu mereka selalu tersisih dan kesepian.
Mengapakah ada orang yang sering sahaja suka mencari cacat-cela orang lain? Ada pula orang yang suka mengumpat dan memburuk-burukkan orang lain. Semua orang salah pada pandangan mereka.
Kajian-kajian juga mendapati orang-orang yang memiliki konsep-diri yang negatif tidak suka kepada orang-orang lain. Mereka suka mencari cacat cela orang-orang lain. Mereka suka mengata, mengumpat dan mencaci orang-orang lain kerana dengan memburuk-burukkan orang lain mereka berasa diri mereka lebih baik apabila dibandingkan dengan orang -orang itu. Tapi sayangnya, perbuatan memburuk-burukkan orang lain hanya membuatkan mereka membenci orang-orang lain. Oleh itu mereka akan menunjukkan perangai-perangai yang negatif kepada orang-orang itu. Perbuatan ini menyebabkan orang lain membenci mereka dan akibatnya mereka makin tersisih dan kesepian.
Setakat ini sahaja dahulu dan moga kita jumpa lagi di halaman akan datang.....Assalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarkatuh dan salam hormat.
- Pamit/Puda -
No comments:
Post a Comment