Wednesday, 12 March 2008

Mengenal Kehebatan dan Potensi Diri

Sebelum kita jauh melangkah mencari ikhtiar dan jalan ke arah kecemerlangan dan keunggulan, kita terlebih dahulu perlu mengenal kehebatan dan potensi diri. Kita mengenali diri kita sebagai umat Islam dan umat Muhammad. Umat ini adalah umat yang terbaik. Dalam surah Ali Imran ayat 110 Allah berfirman, "Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan bagi manusia, kamu menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah."

Mengikut Imam Qatadah, khalifah Omar bin Khattab pernah berkata berhubung dengan ayat ini, "Sesiapa yang suka digolongkan dalam golongan umat yang terbaik ini, tunaikanlah syarat Allah yang terdapat dalam ayat ini." Sahabat-sahabat nabi berjaya menunaikan syarat-syarat ini, justeru mereka berjaya mencipta sejarah gemilang yang tidak ada tolok bandingan. Apabila kita juga mampu menunaikan syarat-syarat ini, kita juga berjaya.

Sebenarnya, dunia tidak pernah menemui golongan sehebat umat ini. Mengikut sebuah hadis bertaraf hasan yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, nabi berkata, "Kamu menggenapkan tujuh puluh umat yang diutus dan kamu adalah yang terbaik dan termulia dari kalangan mereka."

Dalam surah al-Baqarah ayat 143, Allah menggelar umat ini sebagai ummatan wasatha melalui firmannya yang bermaksud, "Dan demikianlah Kami telah menjadikan kamu umat wasatha supaya kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan rasul menjadi saksi atas perbuatanmu."

Kalimat wasatha bermaksud yang terbaik. Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azim berkata, "Umat ini merupakan umat terbaik. Oleh kerana itu, Allah mengurniakan kepadanya syariat paling lengkap, landasan paling kukuh serta pandangan hidup paling jelas." Wasatha juga bermaksud 'adil' seperti yang disebut di dalam al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa. Justeru, ummatan wasatha bermaksud umat terbaik lagi adil.

Kehebatan umat ini disedari oleh tokoh-tokoh Barat. Robert Briffault di dalam bukunya The Making of Humanity memuji umat ini dengan berkata, "Renaissance atau era kebangkitan sebenarnya sudah berlaku di tangan orang-orang Arab dan Islam Sepanyol dan bukannya di tangan orang-orang Eropah. Sepanyol dan bukan Itali peledak kepada kebangkitan di Eropah."

Pandangan yang diutarakan oleh Robert Briffault ini dipersetujui oleh Philip K. Hitti. Di dalam The History of the Arabs beliau berkata, "Orang Islam Sepanyol berjaya mencatat sejarah keintelektualan yang agung pada zaman pertengahan dahulu. Mereka sebenarnya pembawa obor budaya dan tamadun bagi seluruh dunia terutamanya antara abad kelapan dan tiga belas Masihi."

Antara sebab kejayaan umat Islam sebelum ini adalah cara fikir yang berbeza daripada orang lain. Hal ini disebutkan oleh Marmaduke Picktall di dalam Islamic Culture, "Semasa orang Islam keluar mencari ilmu dengan nama Tuhan, golongan Kristian menghancurkan khazanah ilmu yang dihasilkan oleh golongan terdahulu atas nama nabi Isa."

Memang benar, dunia berubah kesan daripada proses perubahan yang dibawa oleh umat Islam. Cara dan budaya hidup Islam yang unggul menjadi contoh manusia sejagat. Hal ini dijelaskan oleh Robert Briffault di dalam The Making of Humanity. Beliau berkata, "Konsep kebebasan manusia, persaudaraan sesama insan dan persamaan hak di kalangan manusia termasuk hak bersuara merangsang beberapa kejadian penting dalam sejarah seperti Revolusi Perancis, Deklarasi Hak Asasi Manusia di Amerika Syarikat dan perjuangan ke arah kemerdekaan di negara-negara Amerika Latin. Sebenarnya, konsep-konsep ini bukan hak cipta masyarakat barat. Ia sebenarnya ajaran yang ada di dalam Quran yang dihayati oleh orang-orang Islam. Konsep-konsep ini kemudiannya mempengaruhi masyarakat Eropah. Besar kemungkinan, jika tidak kerana orang-orang Arab, era kemodenan di Eropah tidak akan berlaku sama sekali."

Dunia terutamanya barat sepatutnya berterima kasih kepada umat ini kerana tanpa sumbangannya, dunia tidak dapat mengecap kemajuan dan pembangunan seperti yang dikecapi pada hari ini. Hal ini dinyatakan tanpa segan silu oleh Carleton S. (Carly) Fiorina, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hewlett-Packard Company, semasa beliau menyampaikan ucapan yang bertajuk Technology, Business and Our Way of Life: What's Next pada 26 September 2001 di Minneapolis, Minnesota.

Beliau berkata, "Pada suatu masa dahulu, wujud suatu tamadun terbesar di dunia. Empayarnya begitu luas, bersambung-sambung dari lautan ke lautan, menjangkau kawasan utara, tropika dan padang pasir. Di bawah kuasanya terdapat ratusan juta manusia daripada pelbagai agama, bangsa dan keturunan. Salah satu bahasanya menjadi bahasa universal yang digunakan dalam percakapan sebahagian besar manusia pada hari ini. Tentera-tenteranya dianggotai oleh manusia daripada pelbagai latar belakang dan penaklukannya mendatangkan keamanan dan kemewahan yang tidak ada tolok bandingan. Perniagaan yang melibatkan tamadun ini berkembang dari Amerika Latin ke negara China dan antara kedua-duanya. Tamadun ini hidup subur digerakkan oleh ciptaan-ciptaan baru. Arkitek-arkiteknya mampu membina bangunan tinggi yang melawan graviti. Pakar-pakar matematiknya mencipta konsep algebra dan algoritma. Konsep-konsep ini membantu penciptaan komputer dan encryption pada hari ini. Tokoh-tokoh perubatannya menemui ubat-ubatan baru yang digunakan bagi merawat pelbagai penyakit. Tokoh-tokoh astronominya meneropong langit dan memberi nama kepada bintang-bintang dan sekali gus membuka jalan kepada penerokaan angkasa raya. Penulis-penulisnya menulis ribuan cerita. Tamadun yang saya maksudkan ini sebenarnya adalah tamadun Islam, yang berkembang dari tahun 800-1600 Masihi."  


- Pamit/Puda -    

 

No comments: