Sebelum itu saya ingin mengongsikan pengalaman peribadi saya mengenai istilah 'konsep-diri'. Hampir setiap kali saya membawa anak lelaki saya membeli belah untuk membeli pakaian, beliau sering bersungut bahawa baju atau seluar yang dijual tidak cocok atau serasi dengan bentuk dan susuk badannya. Ada saja alasan yang diluahkannya seperti badannya kelihatan terlalu kecil, kurang tinggi, tidak lebar dan sebagainya. Sehingga beliau menggubah sebuah perumpamaan yang menggambarkan betapa hodohnya mengenakan sehelai baju-T yang tidak sesuai seperti....."karung guni tergantung di badan".
Gabungan semua anggapan atau kepercayaan kita mengenai diri kita sendiri, termasuk apa sahaja yang kita percaya mengenai sifat-sifat semula jadi diri, ciri-ciri unik peribadi dan perangai-perangai kita adalah dikategorikan dalam istilah konsep-diri.
Menurut Prof. Abdullah Hassan & Ainon Mohd di dalam buku mereka "Pandai Berfikir", setiap orang mempunyai konsep-diri yang boleh digolongkan kepada empat jenis, iaitu:
- Konsep-diri mengenai jasmani kita,
- Konsep-diri mengenai kehidupan sosial kita,
- Konsep-diri mengenai emosi kita,
- Konsep-diri mengenai daya intelek kita.
Dan kita masing-masing mempunyai lebih daripada satu konsep-diri.
Adakah awda menganggap diri awda seorang yang tampan, gagah, sihat dan tinggi dalam bakat kesukanan? Adakah awda berasa diri awda tidak cantik, sudah tua, gemuk, pendek, hitam, terlalu kurus dan tidak ada daya tarikan? Itu adalah konsep-diri jasmaniah awda.
Adakah awda berasa disukai kawan-kawan, popular, ada bakat kepimpinan, pandai menyesuaikan diri dalam kumpulan dan pandai mengambil hati orang lain? Adakah awda berasa awda tidak pandai bergaul, terlalu pemalu, tidak popular, tidak disukai orang lain dan tidak pandai mengambil hati orang lain? Itu adalah konsep-diri kehidupan sosial awda.
Adakah awda menganggap diri awda seorang yang periang, beremosi stabil, pandai mengawal perasaan, pandai mengawal rasa marah, cemburu, sedih dan dendam? Adakah awda berasa awda seorang yang tahu menghiburkan hati sendiri, pandai menaikkan semangat sendiri dan pandai merawat emosi sendiri? Itu adalah konsep-diri emosi awda.
Adakah awda menganggap awda seorang yang pintar, bijaksana, cerdas, bodoh atau dungu? Itu adalah konsep-diri intelektual awda.
Setiap konsep-diri yang kita miliki mempunyai ciri pemikiran dan perasaannya sendiri. Ia berbeza-beza dengan konsep-konsep diri yang lain. Sebagai contoh, kita mungkin mempunyai lebih maklumat mengenai kemahiran sosial yang kita miliki, oleh itu kita berasa yakin mengenai keupayaan kita dalam perkara itu. Sebaliknya kita mungkin kurang maklumat mengenai bakat jasmani kita, oleh itu kita berasa kurang yakin mengenai keupayaan jasmaniah kita itu.
Pada bila-bila waktu, apabila mana-mana konsep-diri kita sedang beroperasi, pemikiran-pemikiran dan perasaan-perasaan yang berkaitan dengannya memberi pengaruh yang kuat ke atas cara-cara bagaimana kita memproses maklumat-maklumat mengenai diri kita. Sebagai contoh, apabila kita berada dalam majlis rasmi, konsep-diri sosial kita akan beroperasi. Sekiranya kita memikirkan kita tidak pandai bergaul, maka kita berasa tidak yakin pada diri sendiri dalam majlis itu. Begitu juga apabila kita berada dalam bilik kuliah, konsep-diri intelektual kita akan beroperasi. Kita akan mengalami pemikiran-pemikiran dan perasaan-perasaan yang mengiringi konsep-diri intelektual kita itu. Sekiranya konsep-diri kita mengatakan "Saya seorang yang pintar", kita akan berasa yakin mendengar apa yang dikuliahkan. Sebaliknya juga begitu.
Konsep-diri kita kuat pengaruhnya ke atas cara-cara bagaimana kita memproses apa juga maklumat mengenai diri kita, oleh itu ia menentukan bagaimana kita melihat diri kita sendiri dan bagaimana kita melihat diri orang-orang lain. Konsep-konsep diri kita mempengaruhi perilaku kita sekarang dan juga perilaku kita pada masa akan datang.
Konsep-diri bukan sesuatu yang nyata dan jelas, tetapi apabila ia sudah tercipta, ia sukar diubah. Kita memiliki kecenderungan untuk memelihara konsep-diri kita, mengekalkannya dan memperkukuhkannya. Sama ada konsep-diri kita itu positif ataupun negatif, kita cenderung mempertahankan konsep-diri kita itu. Itu adalah penyebab konsep-diri kita agak stabil sepanjang hidup kita.
Konsep-diri kita ialah gambaran kita mengenai diri kita sendiri. Gambaran itu termasuk perkara-perkara seperti rupa paras diri kita dan gambaran siapa diri kita dahulu, sekarang dan pada masa depan.
Sekian buat setakat ini. Jumpa lagi di ruang halaman blog akan datang. Assalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarkatuh dan Salam Hormat.......
- Pamit/Puda -
No comments:
Post a Comment